Wednesday, October 2, 2013

Keldai Itu

Pagi yang cerah! Mood yang ceria. Badan terasa sihat.

Ungkapan apakah yang lebih layak diwiridkan jika bukan "Alhamdulillah!" ?

Aku mulakan langkah hari Ahad-ku 20 minit kurang jam 7.00 pagi, meniti jalan kecil selebar kurang lebih 3 meter 'Syari' Al-Adawy' dalam kawasan Sayedah Zainab, Kaherah. Kurang 20 minit sebelum jam 7 pagi adalah masa yang tepat untuk sampai awal 5 minit ke kelas General Surgery Prof. Hussein Khairy.

Berjalan kaki dari rumahku yang beralamatkan Apartment no. 1, Syari' Al-Adawy, Abu Risy, Sayedah Zainab, ke pintu masuk Fakulti Perubatan Universiti Kaherah memakan masa 15 minit di awal pagi. Namun jika terlewat sedikit, boleh memakan masa 20 minit dek tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Eh, tunggu sebentar! Tersangkut? Berjalan kaki pun boleh tersangkut?

Ya betul! Pejalan kaki pun mengalami 'traffic jam'-nya yang tersendiri. Selamat datang ke Kota 1000 Menara, yang isi manusianya melebihi populasi Malaysia seluruhnya, itulah Kota Kaherah. Padat berhabuk. Mampat dan sibuk. Terlewat sedikit memulakan hari, anda akan tersangkut dalam kesesakan kenderaan dan manusia.

Mujur hari ini ku mampu gagahkan diri melawan beratnya sehelai 'saratoga', sejenis selimut tebal yang empuk, peneman setia setiap penduduk di musim sejuk. Selesai solat Subuh siap beserta zikir dan bacaan Al-Quran harian kurang lebih jam 6 pagi.

Kelas Prof. Hussein Khairy bermula jam 7 pagi. Selang masa ada satu jam. Setengah jam sahaja masa berbaki untuk bersiap dan bersarapan. Suhu bilik menggigit tulang. Jika berjaya untuk tidak tidur semula selepas Subuh, dikira kejayaan besar, mungkin boleh direkod di dalam diari peribadi!

Wal hasil...

Hari itu Allah angkatkan bebanan aku. Saratoga pagi ni semacam ringan. Selesai bersiap, dengan beg galas Deuter 25 Liter, aku berjalan berseorangan di jalan kecil Syari' Al-Adawy, pekan kecil Abu Risy. Jalan masih kosong, penduduk kota kebanyakannya masih diulit saratoga empuk. Plastik-plastik sampah dan sikit-sikit sisa makanan belum pun terusik di tengah jalan, dilitupi habuk kota Kaherah.

Walaupun aroma bauan jalan lebih wangi di pagi hari berbanding tengahari, tetap tidak boleh manandingi aroma segar alam semulajadi Kampung Teras Jernang di Bangi, Selangor. Bau rumput subuh hari sahaja sudah cukup untuk memberi kesegaran sehingga ke petang.

"Ini dah kira nyaman dan selesa dah ni. Tunggu tengahari sikit, lagi lah haru..."

Langkahku diteruskan, mara ke hadapan tanpa terusik sedikit pun dengan pandangan biasa pekan Abu Risy itu. Masih ku ingat, tiga tahun lepas, seorang 'super-senior' Kuliah Perubatan Universiti Kaherah melawat kota Kaherah dan bercerita pengalamannya di era tahun 70-an dahulu.

"Area Sayedah Zainab dan Abu Risy ni, dulu-dulu kira kawasan setinggan. Tempat nak cari barang-barang pasar dan ikan..."

Terguris juga jiwa mengenangkan nasib badan, tinggal di kawasan yang 40 tahun dahulu merupakan setinggan. Dah nasib orang merantau, yang mana mampu, di situ lah kita berlabuh, ye dak? Memang benar, Sayedah Zainab terkenal dengan pasar ikannya. Struktur pekan Abu Risy dan Sayeda Zainab memang jelas tidak teratur dan dhaif amat.

Hari ini, keadaan jauh berbeza. Kawasan yang 40 tahun dulunya setinggan, kini menjadi kediaman rakyat marhaen yang purata sosio-ekonominya. Harga sewa rumah pun melambung-lambung semacam kawasan 'high-class'.

Hmm, nak buat macam mana? Dah nasib badan...

Aku teruskan perjalanan ke kuliah pagi itu, sampai ke belokan kedua dari rumahku, di celahan bangunan-bangunan buruk. Di sebelah kanan, dinding sebelah luar rumah aras bawahnya tertancap sekeping papan tertulis ayat suci Al-Quran, "wa mā arsalnāka illa rahmatan lil'ālameen" dari Surah Al-Anbiya ayat yang keseratus tujuh. Maksudnya, "tidak aku utuskan engkau (wahai Nabi Muhammad) melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam".

Begitulah suasana di Mesir. Kejap-kejap, kita akan diingatkan oleh jalan-jalan, dinding-dinding dan papan tanda dengan ayat-ayat Al-Quran, zikir-zikir dan selawat. Semuanya inisiatif masyarakat setempat.

Aku belok ke kiri menghala ke arah kuliah yang masih jauh nun di sana. Tiba-tiba bergemirincing bunyi tapak kaki sejenis makhluk Allah. Makhluk itu sudah betul-betul berada di hadapan mukaku. Sempat ku elak ke tepi, sebelum ia berhenti atas arahan tuannya.

"Heeeeeeeeeee.....!" Dengusan keldai menghiasi pagiku, mengejutku dari lamunan ketenangan pekan Abu Risy.

"Assalaamu'alayko. Mu'akhazah ya basha!" Tegur lelaki Arab Mesir di atas 'kereta' keldai itu. Bibirnya menitip senyuman lebar, sehingga menampakkan dua tiga batang gigi yang sedikit berkarat itu.

"Mu'akhazah" adalah ungkapan ringkas meminta maaf, atau boleh juga digunakan untuk meminta laluan. Mat salleh cakap, "excuse me!"

"Basha" pula merupakan panggilan hormat untuk lelaki di dalam Bahasa Arab dialek Mesir.

"Alaykumussalam warahmatullah. Wala hemmak ya basha!" Aku membalas ringkas selepas menjawab salam, yang bermaksud, "tiada masalah".

Dari terkejut, terus jadi gembira dengan senyuman dan ucapan maaf dari lelaki itu. Biarpun dihidangkan dengan bau masam kehancingan keldai, 'mood' tetap baik bila disapa dengan mesra. Inilah diantara karamah rakyat marhaen bumi Anbiya' Mesir. Biar orangnya banyak tidak berpendidikan tinggi, tapi 'common sense'nya tetap ada.

Teringat aku suasana 'hutan batu dan besi' di tengah bandaraya di tanahair. Berjual beli barang di kedai jadi proses kaku dan mati. Tiada berterima kasih walau sepatah, nak bertemu mata apatah lagi!

Aku kembalikan senyum kepada lelaki Arab di atas keldai itu.

Lelaki dalam lingkungan 40-an itu membawa bersamanya di atas kereta keldainya yang usang bertayar 4 itu, seorang wanita tipikal Arab Mesir, mungkin isterinya, dan dua orang budak kecil, lelaki dan perempuan. Kedua-duanya menggalas beg sekolah yang lusuh lagi kepam. Kelihatan yang lelaki lebih besar, dalam lingkungan 6 tahun, dan yang kecil perempuan lingkungan 5 tahun.

Aku terus berlalu pergi memandangkan masa yang suntuk untuk ke kelas, namun, sesaat kemudian, sahaja aku toleh ke belakang. Seperti reaksi automatik, hasil dari rasa ingin tahu yang tinggi dalam jiwa.

Kelihatan kedua-dua si anak mencium tangan kedua ibu ayahnya, dan dibalas dengan dakapan mesra serta ciuman di dahi oleh ibu ayah mereka. Si ayah menyeluk kocek jubah kampungnya yang lusuh itu dan kelihatan dua keping syiling emas kekusaman. Lalu dihulurkan sekeping kepada si abang, dan sekeping kepada si adik.

"Syedda helko ha... Baibai ya Fatma, baibai yang Meedo!" Ujar si ibu separa menjerit, mengucap "belajar bersungguh-sungguh!" sambil melambaikan tangannya selepas anak-anaknya sudah mula berpaling ke arah berlawanan mereka, menuju ke tadika mereka.

Anak tadika sudah diberi duit belanja syiling emas? Wow, mewahnya!

Sabar dahulu, syiling emas kekusaman itu nilainya hanyalah "nuss junaih" atau lima puluh sen matawang Mesir! Jika ditukar ke ringgit, nilainya kurang lebih 20 sen. Ya, begitu 'banyak' duit belanja adik-adik itu.

Hatiku tiba-tiba terasa hiba. Perasaan bercampur baur, antara kasihan dan insaf. Namun air mata tidak menitik. Hanya kulit terasa sedikit hangat, jantung terasa sedikit lemah dan darah sedikit berderau. Mungkin sistem vagusku baru saja dirangsang oleh gelagat sekeluarga dengan kereta keldai itu tadi.

"Ya Allaaah...." Getusku dalam hati.

"YaAllaaah.... Ya Allaaah..."

Kalimat agung itu diulang-ulang beberapa kali dalam hati, terkadang kedengaran sayup-sayup dari mulut dituruti hembusan asap nipis hasil suhu Januari kota Kaherah yang menggigit tulang-temulang.

Di kala anak-anak di Malaysia terpaksa menonton Discovery Channel atau pergi ke zoo untuk melihat keldai, anak-anak di Mesir masih lagi pergi ke sekolah menaiki keldai.

Anak-anak di Malaysia sudah lah pergi sekolah dihantar dengan kereta berpenghawa dingin, makan sarapannya pun disuap si ibu, entah-entah mandinya pun dijirus oleh ibu! Dalam kesenangan begitu pun, masih lagi bermalasan hendak ke sekolah. Malah tidak kurang juga yang menangis. Manjanya kita...

Bagaimana agaknya anak-anak miskin yang berbekalkan 'nuss junaih' dan berkeretakan keldai sahaja ke sekolah itu, masih boleh bergelak ketawa di hadapan pintu sekolahnya di pagi hari?

Apa lah agaknya pekerjaan si ayah itu, saya tertanya-tanya. Penjual sayur? Peniaga tong gas? Ambil upah angkut barang dengan kereta keldainya? Atau hanya mengutip barang-barang terpakai, besi, tin dan plastik untuk dijual?

Yang pasti, hidupnya umpama si ayam bak kata pepatah Melayu, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan hanya berbekalkan seekor keldai dan kereta keldai, hari demi hari diharungi si ayah tadi, pasti dengan tabah.

Masakan tidak tabah? Di pagi hari menghantar anak ke sekolah demi masa depan yang cerah, di petang hari mengambil semula anak dengan hasil seharian bekerja yang sekadaran sahaja. Mungkin cukup untuk dibeli bahan makanan untuk sehari dua? Mungkin...

..........


Ku teruskan langkah kaki, ke arah pintu kuliah di seberang pecahan sungai Nil. Ku tengok jam di tangan,

"Alamak! Pukul 6.55 dah!"

Langkah perlahan bertukar laju, lari-lari anak. Lamunanku terhenti serta-merta. Kalau masuk kelas lambat, naik malu aku dengan Prof. Hussein. Kesibukan dia puluhan kali ganda dari pelajar macam kami, tapi jarang-jarang sekali dia terlewat.

Pemandangan yang menginsafkan. Cukup baik sebagai 'pembuka selera' untuk hari baru yang menyegarkan.

Hati kecilku berkata,

"Bersedialah untuk bertemu dua tiga lagi pemandangan begini hari ini... Ahlan wa sahlan ke bumi Mesir!"

Sambil tersenyum ku ucap, "bismillah, walhamdulillah..."


"Aku berasa sedih bila aku tidak mempunyai kasut. Kemudian, aku terjumpa orang yang tidak mempunyai kaki" - pepatah Cina